Sahabat sejati sukar dicari..

Friday, September 16, 2011

Sukarkah beristiqomah???

Gambar sekadar hiasan

Syukur ya Allah.. Musafir masih bernafas lagi pada hari ini di bawah lembayung nikmat dan rahmatNya.. Mungkin waktu keseorangan beginilah yang memberi kesempatan untuk memberi peringatan kepada diri sendiri.. Walaupun sedikit berasa sedih disebabkan tidak dapat menyertai suami yang sibuk berkonvensyen di KK tetapi terasa ada hikmah yang tersembunyi..

Malam ini musafir mencari sedikit ruang untuk menyiapkan beberapa helai tudung bidang 60" yang agak 'kolot' pada pandangan sesetengah pihak. Tiba-tiba terdetik sesuatu di benak fikiran musafir.. Astaghfirullah..susahkah untuk musafir sendiri beristiqomah..........

Perkataan istiqomah memang nampak mudah. Lebih-lebih lagi jika ia menjadi point di dalam tazkirah, nasihat, ceramah dll..Tapi bila ia dipersoalkan kepada diri sendiri untuk merealisasikannya barulah ia nampak begitu sukar..

Cukup sajalah bila bercakap tentang penampilan sebagai seorang muslimah.. Sebagai seorang manusia biasa kadang kala musafir juga agak leka dengan nafsu dan godaan syaitan. Lebih-lebih lagi apabila melihat pelbagai jenis fesyen terutamanya musim perayaan baru-baru ini.. Kononnya ingin menjadi wanita yang up to date.. Sering kali alasan ingin kelihatan cantik di depan suami memperdayakan sesetengah kaum isteri.. Istilah cantik bukan di hadapan orang lain.. Inilah hakikatnya.. Tambahan pula fesyen-fesyen yang semakin hebat di pasaran didasarkan atas alasan wanita yang ingin menutup aurat pun boleh bergaya..Musafir tidak mengatakan yang tudung-tudung tersebut tidak boleh di pakai disebabkan asas menutup aurat masih dipenuhi.. Tetapi ini adalah pendapat peribadi sahaja (lebih untuk memberi teguran dan motivasi kepada diri sendiri)..

Alhamdulillah Tuhan itu tidak pernah melupakan hambaNya.. Ada sahaja cubaan dan dugaan yang dihadiahkan kepada hambanya adalah sebenarnya merupakan satu hidayah atau petunjuk.. Biasanya musafir akan mula tersedar melalui contoh orang sekeliling... Sejuk mata memandang melihat sesetengah muslimah yang berpurdah dan bertudung litup serta berjubah walaupun sudah beranak pinak... Inilah motivasi terbaik buat musafir..

Syukur juga musafir dikurniakan suami yang sering membuatkan musafir berfikir dan menganalisis sendiri.. Bukan melalui paksaan atau perlian.. Mungkin kerana dia tahu sifat musafir yang agak mudah terasa.. Semoga kita semua sentiasa diberi kekuatan untuk terus beristiqomah...

Friday, May 20, 2011

Hamba yang kerdil..

Syukur alhamdulillah.. Diberi sedikit kekuatan untuk meneruskan coretan sebagai perkongsian.. Rasa syahdu pada malam yang sangat tenang... Kebetulan keseorangan apabila suami tiada di rumah kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang daie.. Permata hati pula sedang enak dibuai mimpi.. UMMI... Inilah gelaran musafir sekarang.. Amanah yang Allah beri akan musafir pegang dengan sebaik-baiknya.. Insya Allah...

Ketenangan pada malam ini membuatkan hati musafir sedikit tersentuh.. Rindu pada sang pencipta yang sangat membuak-buak.. Alhamdulillah masih diletakkan di bawah kasih dan sayangNya.. Terlalu sedikit rasanya amalan berbanding nikmat Tuhan yang tiada penghujungnya... Syukur Ya Allah.. Jangan kau palingkan sedikit pun pandanganMu pada hamba kerdil yang hina ini...

Kehidupan musafir masih diteruskan lagi sebagai pendidik kepada anak2 yang putih bersih ini.. Walaupun sudah 3 bulan berkhidmat di tempat baru, akan tetapi tidaklah terlampau banyak bezanya.. Tanggungjawab sebagai seorang guru ini tetap saja sama walau di mana musafir berada.. Bezanya cumalah sedikit pendekatan yang perlu disesuaikan dengan persekitaran anak-anak..

"Jalankanlah tugas anda dengan gembira supaya kita akan terus merasa bahagia.." Kata-kata inilah yang menjadi pendorong musafir untuk terus mendaki kehidupan walaupun dugaan menimpa.. Bertambahnya pula tanggungjawab sebagai seorang ibu pasti merubah sedikit rutin harian musafir.. Sedikit berkejar ke sana dan ke mari tetapi masih boleh mengukirkan senyuman.. Lebih-lebih lagi apabila melihat keletah anak kecil yang baru mencapai umur 5 bulan.. Terubat rasa kepenatan.. Alhamdulillah.. Permata yang sangat berharga dan menambahkan kebahagian kami suami isteri..

Kegembiraan kami juga bertambah dengan adanya nikmat keselesaan apabila sudah berpindah ke rumah baharu.. Rezeki menyebelahi kami apabila rumah yang seluas 6 bilik tidur, 2 bilik air, dan keluasan yang agak memuaskan dapat kami sewa dengan harga yang agak murah.. Tuan rumah yang pada mulanya susah untuk menyewakan rumah akhirnya terbuka hati untuk menyewakan kepada kami.. Sehinggakan ramai sahabat yang mencari-cari rumah setelah sekian lama agak terkejut kerana dengan mudah kami pula yang dapat.. Inilah yang membuatkan musafir rasa sangat malu dengan sang pencipta.. Madu yang diberi kadang kala dibalas tuba oleh musafir.. Ampunkan hambaMu ya Allah... Ampun ya Allahhhh....

Kehidupan manusia memang bagaikan roda.. kadang kala di bawah.. dan kadang kala di atas... Inilah keadilan Tuhan... Tetapi sebagai seorang hamba Allah kita perlu sedar untuk menilai kehidupan sehari demi sehari supaya yang tidak baik itu dapat diubah kepada yang lebih baik kerana manusia tidak lari dari dosa.. Bergantung saja pada hati sama ada masih ingin dirahmati atau terus menjadi MATI........

Thursday, August 26, 2010

Ramadhan yang pertama..................

Align Center
Alhamdulillah hari ni masuk 16 hari semua umat Islam berpuasa.. Sedar tak sedar masa terlalu pantas berlalu... Terlalu pantas berlalu apabila teringatkan bila lah lagi kita akan bertemu Ramadhan.. Takut-takut inilah Ramadhan yang terakhir... Tapi terasa lambat masa berlalu apabila perasaan musafir meronta-ronta merindukan suasana berbuka puasa bersama keluarga tersayang.. Apatah lagi masakan emak dan abah yang sentiasa menyelerakan... tak sabar untuk berangkat balik semenanjung... Tiket pun dah lama ditempah.. Nampaknya berbuka atas kapal terbanglah nanti.. Dek kerana tak sabar nak balik hingga tiket pun kami beli Jumaat petang iaitu sejurus habis mengajar terus berkejar ke KKIA..

Banyak juga cerita berkenaan Ramadhan yang pertama ini.. Maklumlah banyak yang menjadikan Ramadhan kali ini begitu istemewa dan berbeza daripada Ramadhan yang sebelum ini... Ramadhan ini yang pertama musafir bergelar sebagai seorang isteri... Yang pertama juga musafir bergelar seorang bakal ibu.... Yang pertama juga selepas musafir menjadi seorang guru.... Dan yang pertama apabila inilah Ramadhan kali pertama musafir terpaksa berjauhan dengan keluarga di semenanjung....

Bila menceritakan kali pertama musafir sebagai seorang isteri memanglah sangat berbeza keadaannya... Semasa sudah berkahwin inilah musafir perlu lebih mempelajari diri seorang suami yang sebenarnya... Apa yang dia suka dan apa yang dia tidak suka.. Lebih-lebih lagi tentang makanan... Hampir setiap hari perlu berfikir berpuluh-puluh menu semata-mata mahukan keselesaan sekeluarga... Kadang-kadang internetlah yang menjadi mangsa sebagai rujukan musafir... Paling seronok bila telefon rumah untuk dapatkan resepi tradisional turun temurun dari emak dan abah... Sebenarnya seorang isteri tidak mengharapkan balasan daripada suami melainkan penghargaan mereka apabila selesai memasak... Cukuplah dengan riak puas hati suami yang mennghargai masakan menjadikan musafir makin bersemangat untuk memasak pada hari yang berikutnya.. Itu belum lagi dengan perbezaan makanan dan budaya orang pantai timur dengan orang pantai Barat.. Hampir setiap hari perlu memikirkan masakan yang agak 'manis' sedikit sebagai pencuci mulut.. Bubur atau cucur akan cuba direka supaya sesuai dengaan selera orang pantai Timur... Hmmmm... seronok juga sekali sekala dapat belajar masakan orang sana.. Kadang-kadang buat muka tak malu je tanya mak mertua tentang resepi-resepi yang tak pernah musafir tahu..

Menjadi kebiasaan bagi orang yang sudah berkahwin untuk menentukan waktu pulang beraya di kampung masing-masing.. Alhamdulillah kami tidaklah sampai bermasam muka atau bertelagah pendapat... Hasil persepakatan insya Allah musafir akan beraya di Banting terlebih dahulu sehinggalah hari Raya kedua.. Kemudian barulah balik ke kelantan pada hari Raya Kedua... Insya Allah tahun depan kami bergilir pula.. Tak sabar nak merasa berhari Raya di tempat orang.. =) Tapi bak kata orang Hujan Emas di Negeri Orang, Hujan Batu di Negeri Sendiri... Lebih baik di Negeri Sendiri...


Tentang Ramadhan pertama sebagai seorang bakal ibu pula lagi bermacam-macam dugaannya... Dugaan yang agak pahit tetapi musafir yakin hasilnya sangat manis... Pada waktu inilah pelbagai kesakitan menyerang hinggakan target untuk berpuasa sebulan penuh tidak menjadi disebabkan terpaksa makan ubat dan mengelakkan daripada gastrik... Walaubagaimana pun, musafir akan cuba sedaya upaya untuk menunaikan ibadah di bulan puasa sehabis mampu... Peristiwa pada 14 Ramadhan akan terus musafir simpan di dalam kotak memori.. Apabila perus musafir menjadi tersangat-sangat sakit dan musafir terus bergegas ke klinik.. Rupa-rupanya musafir gastrik dan perlu dimasukkan air... Mujurlah keadaan tidak berlarutan dan musafir cepat pulih.. Habis kena marah dengan doktor dan jururawat bila mereka dapat tahu musafir berpuasa.. Tapi musafir masih degil dan terus berpuasa kerana musafir beranggapan selagi musafir mampu, musafir akan terus cuba berpuasa...

Tidak dinafikan dugaan-dugaan ini agak menjejaskan ibadah musafir bukan sahaja berpuasa, malahan bersolat tarawih juga turut terkena tempiasnya... Musafir kerap hampir pitam ketika berdiri semasa solat Tarawih hingga menyebabkan musafir terpaksa bersolat duduk.. Baru pertama kali rupanya musafir mempraktikkan ruhsah di dalam solat ini... Nampak sudah hikmahnya dan indahnya islam.. Itu belum lagi apabila musafir sentiasa sesak nafas apabila bersujud... Harap-harap musafir akan terus tidak putus asa dan diberikan nikmat kesihatan dariNya... Bila dikira-kira bukan lama pun sebenarnya berpuasa ni... lagi beberapa hari sahaja sebagai memberi keinsafan kepada diri tentang kesusahan orang-orang yang tiada makanan dan kelaparan...


Kali pertama berpuasa sebagai seorang guru juga ada manisnya... Menerangkan erti berpuasa di kalangan kanak-kanak yang kurang pendedahan agamanya menjadikan musafir agak teruji.. Lebih-lebih lagi apabila musafir merupakan seorang guru pendidikan Islam yang sangat bertanggungjawab memberi kefahaman kepada anak-anak kecil ini... Mereka sangat berbeza daripada kehidupan yang musafir pernah lalui di semenanjung.. Proses belajar berpuasa ketika musafir kecil adalah seawal tadika lagi... Masih berumur 5 dan 6 tahun, musafir sudah kenal erti berpuasa, malah sudah mula berpuasa penuh pun... Tapi mereka di sini susah untuk mencari murid yang berpuasa penuh walaupun sudah berumur 9 tahun... Bahkan masih ada murid yang berumur 11 tahun tidak segan silu untuk mengaku yang mereka tidak pernah puasa penuh... Bukan setakat gelagat mereka yang menjadi tumpuan musafir, tetapi persoalan-persoalan mereka yang kadang kala membuatkan musafir tergelak besar... Ada murid yang bertanyakan tentang puasa.. " Ustazah, kalau kita depan orang, kita kena puasa kn??? Tapi kalau orang tak nampak, kita boleh makan kan???" Tersenyum musafir dengar persoalan itu... Perlu diterangkan kepada mereka bahawa Allah nampak apa yang kita lakukan dalam keadaan terang mahupun tersorok... Lagi seronok bila musafir menjanjikan hadiah bagi sesiapa yang berpuasa penuh... Masih ada yang bertanya, kalau puasa sampai pukul 4 je boleh tak ustazah... Terus musafir menjawab, kalau macam tu puasa yang yuk... balik sekolah terus buka periuk...

Dugaan yang lagi hebat setelah menjadi guru apabila diuji dengan sikap dan kenakalan murid di bulan puasa... Susah lah kita tiada banyak tenaga untuk terlalu aktif, murid pula ramai yang menyerlahkan perangai dan sikap masing-masing yang sangat menguji kesabaran insan yang sedang berpuasa... Nasib baiklah mereka ni masih ke'budak-budakan'...


Berjauhan dengan keluarga dan negeri yang dicintai juga memberikan cerita yang tersendiri di bulan Ramadhan... Kesayuan mula terasa bila teringatkan kaum keluarga yang asyik berbuka beramai-ramai..Apatah lagi bila terdengar lagu-lagu raya di corong-corong radio... Tetapi sepatutnya musafir perlu bersyukur kerana musafir masih boleh beraya dengan mereka... Tidak seperti sesetengah orang yang terpaksa berjauhan dengan keluarga selama 3 hingga 4 tahun dek kerana pengorbanan mencari ilmu di perantauan... Mungkin kesusahan musafir untuk membiasakan diri apabila ketika masih belajar di maktab, sudah menjadi kebiasaan musafir untuk pulang pada tiap-tiap minggu... Maklumlah rumah yang paling dekat dengan maktab.. kalau boleh hari-hari musafir ingin berulang dari rumah dan maktab... sekarang barulah musafir rasa kehidupan berjauhan dengan keluarga... Mujur masih ada suami di sisi.. sekurang-kurangnya tidaklah musafir keseorangan...

Paling kelakar bila berjauhan dengan negeri dan keluarga dikaitkan dengan soal makanan.. Sukarnya bila berada di negeri orang, hendak mencari masakan yang serupa dengan orang semenanjung... Perbezaan budaya dan makanan di sini tidak memberi keseronokan kepada musafir untuk ke bazar... Apatah lagi untuk mencari sepotong dua kuih yang menyerupai kuih-kuih yang ada di semenanjung... Untuk mengubati rasa rindu di hati, setiap minggu musafir dan suami akan turun ke Kota Kinabalu yang jauhnya 100km semata-mata untuk mencari makanan yang ala-ala semenanjung... Dapatlah kami merasa Nasi kerabu walaupun rasanya agak berlainan dengan naasi kerabu Wan Atik di Bangi... Bila terkena penangan nasi kerabu, hilanglah penat turun ke KK walaupun pergi balik dalam masa sehari... Memang nampak dekat jika musafir katakan 100km... Tp ditambah dengan kabus yang tebal serta jalan yang bengkang bengkok, kadang kala hampir putus asa juga musafir dibuatnya... Terpaksa menahan muntah dan mabuk jalan semata-mata kerana nasi kerabu....

Perbezaan waktu di sini sedikit sebanyak memerlukan musafir bangun seawal jam 3 pagi untuk menyiapkan makanan bersahur... Tapi yang seronoknya apabila 6.30 petang kami sudah bersedia untuk berbuka puasa... macamanalah kami hendak membiasakan diri apabila balik di semenanjung nanti...

Banyak lagi sebenarnya yang ingin musafir ceritakan sebagai pengalaman yang cukup berharga untuk diri musafir... Kemanisan dan kepahitan ini pasti menjadi kenangan buat musafir hingga ke akhir hayat di samping mengajar erti ketabahan dan kesabaran supaya musafir dapat meneruskan kehidupan yang mendatang... insya Allah... Ramadhan Kareem!!!!!!





Monday, May 3, 2010

Ya Allah.. Kurniakanlah kepadaku nikmat kesihatan..



Alhamdulillah.. Satu berita yang ditunggu-tunggu oleh sesiapa yang telah mendirikan rumahtangga telah pun diterima oleh musafir.. Syukur tak terhingga kepada Allah yang Maha Esa atas kurniannya yang tidak ternilai.. Waktu sepanjang 9 bulan 10 hari bukanlah waktu yang pendek.. Tambahan pula dugaan serta cabaran yang perlu dilalui merupakan kali pertama buat musafir.. Awal-awal lagi sebelum mengetahui keputusan ini, musafir mula rasa tidak kena dengan kesihatan musafir.. Selera makan mula kurang dengan di selangi dengan mual serta rasa loya sehinggakan hampir setiap petang musafir akan muntah-muntah.. Setelah mengetahui berita gembira ini, keadaan musafir bertambah-tambah teruk.. Hampir setiap waktu musafir akan muntah-muntah termasuklah pada waktu semua orang lena dibuai mimpi.. Keadaan makin teruk apabila musafir mula tidak boleh menjamah makanan.. Hilang terus rasa nak makan.. Setiap kali teringat tentang makanan, rasa mual akan mula menguasai diri musafir.. Yang boleh musafir makan hanyalah beberapa keping biskut kering yang hampir menjadi menu utama musafir buat masa ini.. Waktu inilah musafir terkenangkan perasaan ibu yang telah mengandungkan kita.. Padahal waktu mengandung bukanlah waktu kesakitan yang puncak sebaliknya waktu bersalin yang lebih sakit belum musafir rasakan.. Alhamdulillah orang disisi ada yang membantu dan turut memahami.. Saat musafir berpuasa seperti ini, suami juga terpaksa berpuasa.. Kadang kala terpaksa makan di luar dek kerana musafir tidak boleh masuk ke dapur.. Kesian pun ada tapi apa yang boleh musafir buat.. Terpaksalah kami mengharungi bersama-sama dugaan yang pastinya akan melahirkan sesuatu yang lebih mengembirakan kelak.. Apabila memikirkan sakit itu penghapus dosa, musafir akan lebih merasa bersyukur..

Pada suatu hari musafir agak tidak tahan dengan perubahan yang berlaku pada diri musafir.. Lalu musafir bersama suami telah ke hospital bahagian kecemasan.. Selepas musafir diperiksa, musafir telah diletakkan di sebuah tempat khas di atas katil pesakit. Rupa-rupanya musafir akan dimasukkan air dek kerana muntah yang terlalu banyak menyebabkan badan musafir kekurangan air.. Ketika berseorangan di tempat tersebut, mulalah fikiran musafir menerawang.. Seandainyalah aku mati, adakah aku akan rasa sunyi seperti ini.. Ya Allah bukan setakat sunyi tapi kehidupan di dalam tanah yang gelap serta balasan terhadap perbuatan kita di duania lebih mengerikan.. Bermacam-macam perkara yang bermain-main di dalam fikiran musafir.. Rasa hendak saja musafir menekan botol air yang keluar setitik demi setitik supaya keluar dengan lebih laju lagi.. Tak sanggup rasanya nak duduk di hospital dalam keadaan yang sunyi... Habis sahaja air masuk ke dalam badan, musafir terus meminta kebenaran untuk pulang tanpa meminta apa-apa nasihat dari doktor.. Perasaan tak sabar nak balik telah menjadikan musafir lupa bahawa musafir sedang sakit.. Sesungguhnya kesakitan itu adalah ujian kepada diri kita supaya kita sentiasa insaf dan mengingati mati.. Wallahu a'lam...

Sunday, May 2, 2010

Aku terima nikahnya..


Alhamdulillah.. Bait Muslim berjaya dimulakan pada 19 February 2010 yang lalu.. Kehidupan yang berbeza antara sebelum kawin dan selepas kawin sangat dirasai oleh musafir. Perbezaan yang meliputi tanggungjawab, masa, perkongsian, komunikasi dengan kedua belah keluarga dan sebagainya perlu diambil kira..

Antara peranan isteri kepada suami ialah :

1.Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud
" Sesiapa sahaja isteri yang meninggal dunia sedang suaminya redha terhadap pemergiannya maka ia akan masuk syurga".

2.Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud " Apabila seorang isteri telah mendirikan solat 5 waktu dan berpuasa di bulan ramadhan dan memelihara kehormatannya dan mentaati suaminya maka diucapkan kepadanya masuklah syurga dari mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki".

3.Seorang perempuan datang ke hadapan Nabi s.a.w. lalu berkata " Wahai Rasulullah s.a.w., saya adalah wakil kaum wanita untuk menghadap tuan. Berperang itu diwajibkan oleh Allah swt hanya atas kaum lelaki, jika mereka terluka maka mendapat pahala dan kalau terbunuh maka mereka adalah tetap hidup di sisi Allah swt, dan dicukupkan rezeki (dengan buah-buahan syurga). Dan kami kaum wanita selalu melakukan kewajipan terhadap mereka (iaitu melayani mereka dan membantu keperluan mereka) maka apakah kami boleh ikut memperolehi pahala berperang itu?" Maka Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud
" Sampaikanlah kepada wanita-wanita yang kamu jumpa bahawa taat kepada suami dengan penuh kesedaran maka pahalanya seimbang dengan pahala perang membela agama Allah swt, tetapi sedikit sekali daripada kamu sekalian yang menjalankannya"

4.Wajib bagi seorang isteri :
    1. Merendahkan pandangannya di hadapan suaminya.
    2. Tidak khianat terhadap suaminya ketika ketiadaannya termasuk juga hartanya.
    3. Menunaikan hajat suami bila diajak oleh suaminya biarpun sewaktu sibuk atau susah ( Rasulullah mentamsilkan walau berada di punggung unta sekalipun)
    4. Meminta izin suami untuk keluar dari rumahnya.

5.Diceritakan dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda maksudnya:
"Sesungguhnya semua burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat di langit meminta ampun untuk seorang isteri yang berbakti kepada suaminya dan sentiasa dalam keredhaan suaminya. Dan sesiapa sahaja di kalangan isteri yang tidak berbakti kepada suaminya maka ia mendapat laknat dari Allah swt dan malaikat serta semua manusia".

6.Sesiapa sahaja di kalangan isteri yang bermasam muka di hadapan suaminya maka ia dalam kemurkaan Allah swt sehingga ia dapat membuat suasana yang menggembirakan suaminya dan mohon kerelaannya.

7.A'isya r.a. berkata: "Wahai kaum wanita, seandainya kamu mengerti kewajipan dirimu terhadap suamimu tentu seorang isteri akan menyapu debu dari kedua telapak kaki suaminya dengan mukanya."


8.Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya "Jika seorang isteri berkata kepada suaminya 'tidak pernah aku melihat kebajikanmu sama sekali' maka hancur leburlah pahala amal kebajikannya."

9.Nabi s.a.w. bersabda
" Sesiapa isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa sebab-sebab yang sangat diperlukan maka haramlah bau syurga ke atasnya."

10.Hadith Nabi s.a.w. "Sesungguhnya Allah swt tidak melihat kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya."

11.Nabi s.a.w. bersabda maksudnya
"Urusan pertama yang ditanyakan kepada isteri pada hari qiamat nanti ialah mengenai solatnya dan mengenai urusan suaminya (apakah menjalankan kewajipannya terhadap suaminya atau tidak)"

12.Nabi s.a.w. bersabda bermaksud: " 4 perempuan yang berada di neraka ialah

13.Perempuan yang kotor mulutnya terhadap suaminya; suaminya tiada di rumah dia tidak menjaga dirinya dan jika suaminya bersamanya ia mengherdiknya.


14.Perempuan yang memaksa suaminya untuk memberi apa yang di luar kemampuan si suami.


15.Perempuan yang tidak mempunyai tujuan hidup kecuali makan, minum dan tidur dan ia enggan berbakti kepada Allah swt dan enggan berbakti kepada sumainya ( seorang isteri yang bersifat begini akan dilaknati Allah swt kecuali bertaubat)


16.Wanita yang tidak menutupi dirinya dari kaum lelaki dan keluar rumah dengan menampakkan perhiasannya dan memperlihakan kecantikannya (untuk menarik kaum lelaki).


17.Al-Hakim bercerita bahawa seorang perempuan berkata kepada Nabi s.a.w. "Sesungguhnya putera bapa saudaraku melamarku, oleh itu berilah peringatan kepadaku tentang kewajipan seorang isteri terhadap suaminya, kalau kebajikan itu sesuatu yang mampu aku jalankan, maka aku bersedia dikahwinkan." Maka baginda bersabda: " Andainya mengalir darah dan nanah dari kedua lubang hidung suaminya lalu dia (isteri) menjilatnya maka itupun belum dianggap menjalankan kewajipannya terhadap suaminya. Sekiranya diperbolehkan untuk manusia bersujud kepada manusia lain, nescaya daku perintahkan para isteri sujud di kaki suami mereka". Berkatalah perempuan itu, " Demi Tuhan yang mengutuskan tuan, aku tidak akan berkahwin selama dunia ini masih ada."


18.Seorang isteri hendaklah menyedari bahwa seorang suami bagi isteri adalah bagaikan ayah bagi seorang anak kerana taatnya seorang anak kepada ayahnya dan memohon keredhaannya adalah wajib. Seorang suami pula tidak wajib mentaati isteri.

19.Menjadi pendorong serta penasihat dalam hal-hal agama serta kebajikan.


20.Memahami hal-hal yang digemari dan yang dibenci oleh suami.

21.Segala tingkah laku dan perbuatannya hendaklah menyenangkan hati suami.


22.Sentiasa menambahkan ilmu agamanya serta amalannya dengan apa cara sekalipun seperti dengan membaca serta mengikut majlis-majlis agama.

23.Demi cinta terhadap suaminya, seorang isteri akan melakukan khidmat dan bakti kepada suaminya dari sebesar-besar perkara sehinggalah kepada yang sekecil-kecilnya seperti mengerat kuku, memotong misai dan meminyakkan rambut suami.


24.Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada Siti Fatimah r.a.: " Ya Fatimah, apabila seorang wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya maka Allah swt akan memberinya minum dari air syurga yang mengalir di sungai-sungainya dan dijadikan kuburnya menjadi sebuah taman yang indah dari taman-taman syurga."

25.Sentiasa menyediakan air di sisi suami. Selama ia berbuat demikian, selama itulah ia didoakan keampunan oleh para malaikat. Dikatakan sekiranya isteri membawakan air kepada suaminya dengan senyuman maka ia mendapat pahala amalan puasa sunat satu tahun.


26.Memasak mengikut kesukaan atau selera suami.

27.Menampal baju atau pakaian suami yang koyak.


28.Siapkan barang-barang keperluannya seperti sikat, celak, miswak, cermin dan minyak wangi di dalam satu bekas (sunnah).

29.Ikut kemahuan suami dalam masa bergurau senda, memicit, mengipas dan sebagainya.



Dipetik daripada : http://wacana-muslimah.blogspot.com/2010/03/tanggungjawab-isteri-terhadap-suami.html

Saturday, January 30, 2010

Manisnya ukhwah..


Ukwah fillah abadan abada.. Manisnya ukhwah jika ia dibina kerana Allah.. Baru sahaja musafir menelefon seorang sahabat yang lebih 5 tahun kami tidak berjumpa.. Rindu rasanya bila mengenangkan pertemuan dan perpisahan yang telah lama berlalu.. Berlainan negeri, adat, loghat dan cara hidup menjadikan pertemuan ini adalah satu kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh musafir.. sayangnya tiada satu foto pun yang tersimpan sebagai ingatan..

Alhamdulillah.. Perjalanan musafir selama dua bulan di Universiti islam Antarabangsa sedikit sebanyak telah meninggalkan pelbagai kenangan, pengalaman serta ilmu yang bermanfaat Insya Allah.. Kenangan bersama k.ada dan k.ida yang paling segar dalam ingatan.. Berkongsi masalah suka dan duka sangat membantu musafir seterusnya menyulam ukhwah yang sangat rapat antara kami.. Melihatkan suasana kampus yang semakin terhakis keislamannya menjadikan kami bersatu hati dalam menegakkan kalimah Allah.. Kami bersama-sama setiap masa dalam melibatkan diri di dalam beberapa persatuan sehingga musafir dan k.ida dapat menghabiskan masa buat kali terakhir di bukit fraser untuk menghadiri program McLead.. Musafir masih ingat satu panggilan penting dari abah yang meminta musafir meninggalkan UIA untuk mengikuti tawaran guru di maktab menghantui fikiran musafir sepanjang mengikuti program.. Hasrat itu musafir katakan pada k.ida dan k.ada dengan hati yang sangat berat.. Masing-masing antara kami mendiamkan diri.. Lebih sedih lagi bila saat-saat musafir akan meninggalkan uia, k.ada hilang entah ke mana.. Puas musafir mencari yang ada hanyalah sehelai kertas.. Sepucuk surat luahan hatinya cukup membuatkan musafir menitiskan air mata... Akhirnya dengan rasa redha kami pun berpisah dan berazam akan bertemu kembali..

Itulah manisnya ukhwah.. Susah dan senang dikongsi bersama... Bukan hanya ketika sahabat kita senang sahaja kita menjalinkan ukhwah tetapi jika sahabat kita susah kita mula menjauhkan diri.. Lebih manis jika sakit dalam menegakkan kalimah Allah itu dikongsi bersama.. Fikrah yang sama dan pegangan yang sama.. Kesemua itu bakal membuahkan hasil kekuatan semangat serta kemantapan dalam bertindak.. Akan kami abadikan kenangan ini hingga akhir hayat.. Terima kasih sahabat-sahabatku...


Lirik lagu yang sering k.ada beri pada musafir :

Nostalgia

Terkenang sebuah memori lalu
Kisah persahabatan kita bersama
Di dalam satu pengajian
Menuntut ilmu dan pengalaman
Mengingatkanku pengorbananmu
Terpahat padu di kalbuku

Bersama rakan taulan dan guru
Tawa riangmu menghiburkan hatiku
Indahnya suasana ketika itu
Terjalin ukhuwah sejati

Nasihatmu sungguh bermakna bagiku
Mengenalkanku erti kehidupan
Susah payah kita hadapi bersama
Itulah asam garam dalam kehidupan

Ya Tuhanku tabahkan hatinya
Kuatkan semangatnya untuk menghadapi hidup
Limpahkanlah maghfirah dan kasih sayang-Mu
Agar hidupnya sejahtera di dunia akhirat

Friday, January 29, 2010

Sajak buat ibu dan ayah..




Alhamdulillah.. Segala puji bagi Allah atas kurniaan yang sangat berharga buatku.. Ayahanda dan bonda tercinta yang jauh nun di sana.. Anakmu di perantauan sentiasa merindui kalian berdua.. Ku doakan kalian sentiasa dirahmati dan dipayungi dengan kasih Ilahi..

Ayahanda yang tercinta..
Masih jelas dalam ingatanku..

Saat kau muda bertenaga,

kau habisi peluhmu buat kami berlima..

tanpa ada jawapan tidak,

kau curahkan segala kasih sayang..

Demi kemahuan kami,
kau turuti semuanya..
Walaupun puteri-puteri mu ini tidak pernah membalasnya..

Namun kau teruskan tugasmu tanpa cacat cela..


Bonda yang tersayang...

Rindu anakmu ini
dengan segala leteran berguna..

Tegahanmu ada hikmahnya..

Marahmu ada pujuknya..

Mana mungkin akan ku temui,
insan yang di sebalik wajah itu
ada sekeping hati yang lembut..

Menunjukkan kasih seorang ibu..

Biarpun anakmu ini masih tidak mengerti,

Kau teruskan jua janjimu pada Illahi..

Ayahanda dan bonda yang tersayang..

Banyak sudah yang kalian korbankan..

Kalian berjaya kini mendidik kami
menjadi orang yang berguna..

Berbakti kepada anak bangsa..

Walaupun kita terpaksa berjauhan,

Namun kalian masih di dalam ingatan..

Setiap detik dan waktu..


Ayahanda dan bonda..
Masih ingat raut kedua-dua wajah kalian..

Di saat kita perlu berpisah..

Ayah... masih tidak lekang dengan nasihat bermakna..

Bonda... hanya sinaran matamu yang mampu berkata-kata..

Aku yang cuma memahami dalam kesuraman suasana..

Berpelukan kami seperti tidak mahu dilepaskan..


Ayahanda dan bonda..

Doakanlah anakmu di sini..
Meneruskan tugas yang mulia..

Tanpa yang tersayang di sisi..

Moga dengan restu kalian,
perjuangan anakmu ini sentiasa dipermudahkan..


Ya Allah Ya Tuhanku..

kasihanilah ibu dan ayahku..

Sepertimana mereka mengasihaniku,

Sewaktu aku masih kecil..
Amin Ya Rabbal 'Alamin..